31 OKT : Kanada berikrar untuk menyumbang jutaan lagi dos vaksin COVID-19 kepada negara miskin di seluruh dunia.
Perdana Menterinya, Justin Trudeau berkata, Kanada akan menyumbang sekurang-kurangnya 200 juta dos vaksin kepada fasiliti COVAX menjelang akhir 2022 ketika sidang kemuncak G20 semalam.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 juta dos vaksin Moderna akan dihantar segera ke negara membangun.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kanada, Chrystia Freeland berkata, negara itu turut berjanji menyumbang AS$15 juta bagi membantu meningkatkan pengeluaran vaksin di Afrika Selatan.
Dana itu akan menyumbang kepada kewujudan sebuah pusat pemindahan teknologi bagi membolehkan wilayah itu mengeluarkan vaksin COVID-19 jenis mRNA.
“Kami tidak mengawal pengeluaran, namun menjelang 2022, kami pasti kemungkinan untuk menyumbang pada tahap ini,” katanya.
Pada Ogos lalu, Moderna mengumumkan, syarikat itu mahu membina sebuah kilang pengeluaran vaksin di Kanada, yang pertama di luar Amerika Syarikat (AS).
Kerajaan Kanada memaklumkan, hampir tiga juta daripada 40 juta dos yang dijanjikan Kanada diterima COVAX semalam dengan penghantaran tambahan dijangka dalam tempoh beberapa hari lagi.