PH diperingkat akhir bincang kedudukan 3 bekas ADUN
31 OKT: Pakatan Harapan (PH) sedang di peringkat akhir perbincangan mengenai kedudukan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka untuk bertanding atas tiket gabungan parti pembangkang terbabit.
Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya tidak boleh mengetepikan semua bekas ADUN itu yang sebelum ini berusaha mengembalikan mandat kepada PH untuk mentadbir Melaka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ketika ini perbincangan lebih menjurus kepada kedudukan tiga bekas ADUN.
“Sekarang tinggal tiga orang (ADUN) dan kita masih dalam peringkat akhir (perbincangan) mengenai mereka, sebab kita perlu jelaskan juga kedudukan ini.
“Semua mereka mengambil keputusan menyokong PH dan memulihkan mandat kepada PH yang dirampas dan dikhianati sebelumnya.
“Soal persefahaman mereka itu adalah untuk mereka bersama dan kemudian jika mereka ambil keputusan mereka sudah menjangkakan akan dipecat oleh parti masing-masing.
“Oleh itu kita nak ketepikan begitu saja tidak boleh, kita akan bincangkan dalam tempoh terdekat,” katanya selepas majlis sumbangan bakul makanan sempena Deepavali di Dewan Orang Ramai Kampung India, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, PH masih belum mencapai kata sepakat mengenai kedudukan empat bekas ADUN berkenaan dan perbincangan mengenai kedudukan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, selain tiga ADUN lain iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datul Nor Azman Hassan masih diteruskan.
Majlis Presiden PH diadakan bagi membincangkan mengenai PRN Melaka, termasuk hasrat empat ADUN terbabit yang dikatakan mahu bertanding atas tiket PH.
Hasrat mereka sebelum ini bagaimanapun ditolak DAP yang tidak mahu menerima Norhizam berikutan bertindak menyokong gabungan politik baharu di Melaka sehingga menyebabkan PH tumbang di negeri itu.