31 OKT: Perikatan Nasional (PN) amat menghargai sumbangan mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Jemut Masing sebagai seorang negarawan berjiwa besar yang banyak membantu mengukuhkan dan mengeratkan lagi semangat perpaduan negara.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berasa amat sedih dan hiba menerima berita pemergian yang meninggal dunia pada pukul 7.05 pagi hari ini di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata jasa bakti beliau kepada negara dan negeri Sarawak khususnya, adalah tidak terhitung nilainya dan sudah pasti kehilangannya amat dirasai.
“Sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), beliau adalah seorang tokoh politik yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menjunjung integriti, bekerja keras bagi kemajuan serta kemakmuran negara dan negeri Sarawak.
“Saya yang secara peribadinya telah kehilangan seorang sahabat baik, berharap seluruh ahli keluarga mendiang agar dapat tabahkan hati menghadapi saat yang menyedihkan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum itu Masing telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas didapati positif COVID-19 kategori tiga, dan perkara itu disahkan sendiri oleh beliau pada 28 September lalu menerusi perkongsiannya di laman Facebooknya.
Dalam kiriman di laman itu, beliau turut berkongsi fotonya sebelum dibawa ambulans untuk rawatan di HUS selepas mengalami gejala demam, hilang selera makan dan paru-paru berair.