PRN Melaka : Semua parti politik perlu amal norma baharu
31 OKT: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan semua parti politik yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengamalkan norma baharu ketika berkempen meraih undi bagi menyekat penularan COVID-19.
Beliau berkata meskipun prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua pihak perlu bersedia mengubah corak berkempen mengikut norma baharu berikutan negara masih berhadapan dengan pandemik itu.
“Saya tidak mahu membuat sebarang ramalan selagi saya belum nampak SOP yang dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan dikeluarkan oleh SPR, jadi tidak elok untuk saya buat sebarang spekulasi.
“Sudah tentu dengan keadaan kita berdepan situasi pandemik COVID-19, satu norma baharu dan cara kita berkempen juga kena berubah, tidak seperti dahulu kita boleh berkumpul beramai-ramai, bersentuhan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah di Parlimen Ayer Hitam di Dewan Komuniti Ayer Hitam di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada penetapan SOP yang melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober lalu hingga 27 November depan dijangka mengganggu persiapan PRN Melaka.
SPR menetapkan tarikh penamaan untuk PRN Melaka pada 8 November, diikuti undi awal pada 16 November dan mengundi pada 20 November.