31 OKT: Pengarah Pilihanraya PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan parti itu berada dalam dilema dan sukar membuat keputusan untuk memilih rakan sekutu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.
Muhammad Sanusi berkata pendirian yang diambil PAS adalah bagi memastikan kerjasama serta penyatuan Melayu dan Islam dapat dilaksanakan meskipun berhadapan dengan pelbagai tohmahan termasuk dilabel sebagai ‘rakus kuasa’.
Beliau menyatakan tanggungjawab untuk membentuk kerjasama dan penyatuan adalah satu kewajipan sebagai orang Islam dan ianya bukanlah perkara yang ‘suka-suka’ atau dilakukan demi memenuhi kepentingan peribadi.
“(Sebenarnya) yang (berada di dalam) dilema bukan PAS, yang (dalam) dilema orang lain. PAS sebenarnya tidak ada masalah apa-apa, siapa yang nak penyatuan silakan, PAS ‘ready’ (sedia) sahaja.
“(Yang bertanyakan PAS pilih Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional), sebenarnya dua-dua, (yang sifatkan PAS rakus kuasa) dia bukan macam tu (yang kata) rakus kuasa. Ini kewajipan PAS untuk menyatukan umat Islam, mana boleh beritahu (tindakan PAS) ini kerakusan pula, itu satu dosa, tuduh Pas selaku rakus.
“(Dalam situasi ini) saya kata main 100 kolam (pun) tak apa kalau atas nama penyatuan perpaduan kesatuan politik Islam dan Melayu, 100 kolam pun kita akan berenang, jangan kata tiga, 100 pun takpa,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis penutup #MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah, hari ini.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa parti itu ketika ini sedang berusaha sedaya upaya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri membabitkan parti-parti yang kini berada di dalam blok kerajaan bagi menghadapi PRN Melaka.
Mahdzir berkata perbincangan lanjut juga sedang dan akan dilaksanakan UMNO berkaitan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan keputusan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Dalam pada itu Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa gabungan itu sedang dan akan melakukan perbincangan lanjut mengenai logo yang akan digunakan bagi menghadapi PRN Melaka, 20 November depan.
Azmin berkata tarikh bagi hari penamaan calon “masih lambat”, dan maklumat berkaitan penggunaan logo hanya akan diumumkan selepas keputusan dicapai oleh parti-parti yang terlibat.