31 OKT : 31 OKT : Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berpandangan bahawa inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2022 berkaitan industri pelancongan dilihat tidak mencukupi untuk memulihkan dan merangsang pelancongan domestik selepas terkesan teruk COVID-19 sejak Mac 2020 lalu.
Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, pelepasan cukai individu sebanyak RM1,000 bagi pelancongan domestik dilanjutkan ke 2022 tidak mewujudkan impak ketara memandangkan penjimatan cukai hanya RM210 jika pembayar cukai di bawah kumpulan cukai 21 peratus di mana MATTA sebelum ini telah meminta pelepasan cukai individu RM8,000.
“Tidak ada insentif cukai untuk syarikat tempatan yang melaksanakan insentif perjalanan atau cuti untuk kakitangan mereka di dalam negara bagi meningkatkan pelancongan domestik.
“Walau bagaimanapun, kami menantikan dana insentif sebanyak RM60 juta untuk menggalakkan perjalanan domestik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengenai dana pelancongan RM600 juta di bawah Pembiayaan Pelancongan Penjana dan Skim Rehabilitasi Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Tan berkata, mesti ada fleksibiliti dalam terma dan syarat untuk dana, dan kadar faedah nominal mesti ditawarkan untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pelancongan yang tertekan untuk mengakses dana itu.
Beliau berkata, penubuhan Pusat Pengembara Perniagaan baharu di Johor akan membantu menambah baik segmen pengembaraan perniagaan kerana berdekatan dengan Singapura.
Katanya, Singapura sentiasa menjadi penyumbang utama ketibaan pelancong asing ke Malaysia dan ia menjadikan pendirian komersial yang baik untuk mempunyai pusat di di Johor.
“Satu lagi langkah yang baik ialah usaha untuk memelihara alam sekitar di negara ini, kerana negara kita terkenal sebagai destinasi berasaskan alam semula jadi untuk pelancong antarabangsa.
“Program Nomad Digital Malaysia juga dialu-alukan kerana ia mewujudkan ekosistem digital serantau di negara ini dengan menggunakan sektor pelancongan sebagai pemangkinnya; dan oleh itu, mengakibatkan pasaran baharu yang berpotensi untuk pemain pelancongan,” katanya.