1 NOV: Penyediaan Bajet 2022 adalah memenuhi konsep ‘maqasid syariah’ atau bermodelkan negara Islam berkebajikan berpandukan al-Quran dan Sunnah.
Ahli Parlimen BERSATU-Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh, berkata ini terbukti apabila kerajaan memperuntukan RM332.1 bilion berbanding RM322.5 bilion menerusi Belanjawan 2021 dengan peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM233 bilion.
“Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ berpaksikan tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
“Tiga fokus utama Bajet 2022 iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan yang berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan penting dalam membina daya tahan negara dalam pemulihan dan peralihan dari fasa pandemik kepada fasa endemik tidak lama lagi,” katanya ketika membahaskan usul Bajet 2022 di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fasiah juga menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan antivaksin yang menjejaskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 di Malaysia, sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata beliau juga berterima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Kesihatan kerana menyambung kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak di seluruh negara, pada tahun depan.
“Saya juga menyambut baik keputusan kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi menaja program kepakaran kepada 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian menerusi Bajet 2022,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fasiah berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu meningkatkan kerjasama bagi memajukan tanah pertanian terbiar dan tidak diusahakan di seluruh negara ketika ini.
Beliau berkata kerajaan juga wajar mengambil semula tanah yang diberikan untuk diusahakan secara sementara jika ia tidak diusahakan selepas tempoh tiga tahun tanah berkenaan dianugerahkan.