1 NOV: Malaysia mempunyai saintis vaksin yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin yang mampu meningkatkan keupayaan sektor kesihatan khususnya bagi penghasilan vaksin.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar import produk farmaseutikal Malaysia bernilai AS$1.94 bilion pada tahun 2020 di mana vaksin adalah lima item import utama dengan jumlah pembelian sebanyak RM4.3 bilion bagi vaksin COVID-19 sahaja.
“Kebergantungan kepada import ini menunjukkan kita perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan pengguna teknologi semata-mata.
“Selain itu, ia bagi memastikan negara sentiasa bersiap siaga untuk berhadapan dengan pandemik pada masa akan datang,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia, hari ini.
Beliau menambah, sejak Mac tahun lalu, Keluarga Malaysia diuji dengan pandemik COVID-19 dan rakyat mengharungi bersama tempoh getir itu sebagai sebuah keluarga dengan saling bantu-membantu antara satu sama lain.
“Apabila Malaysia memperkukuhkan sekuriti kesihatan negara, ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan terhadap negara pengeluar vaksin,” katanya.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ismail Sabri berkata, kerajaan telah bersetuju agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi fokus terhadap pembangunan dan penyelidikan vaksin tempatan.
“Hasilnya, pada hari ini kita menyaksikan Institut Genom Malaysia (MGI) dinaik taraf kepada Institut Genom & Vaksin Malaysia atau Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI).
“Naik taraf MGVI ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.
“Saya yakin, penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar,” katanya lagi.