1 NOV: Kerajaan diminta membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya mengeluarkan simpanan mereka menerusi skim i-Citra daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen BN-Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan berkenaan perlu kerana rakyat Malaysia umumnya ingin menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang dan memulakan perniagaan kecil susulan ramai yang terkesan akibat penularan COVID-19.
“Saya dapati ramai yang bersuara dan mendesak, sebenarnya mereka mempunyai tunggakan yang perlu dijelaskan ataupun berniat untuk mengumpul modal untuk memulakan perniagaan kecil mereka. Mereka bukan suka-suka nak keluarkan caruman mereka.
“Justeru, saya amat berharap saya amat berharap had maksimum i-Citra dinaikkan ke RM10,000 sebagai skim pengeluaran khas terakhir kerana ini amat dituntut oleh rakyat.
“Sesungguhnya ini tidak boleh disifatkan sebagai langkah populis, tetapi berpunca dari keperluan mendesak rakyat,” katanya ketika menyokong perbahasan Bajet 2022 mewakili Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Najib berkata bagi mengimbangi pengeluaran itu beberapa perkara boleh dilakukan untuk membantu KWSP sendiri.
“Kerajaan perlu memberi keutamaan untuk memulihkan simpanan rakyat dalam KWSP. Seperti yang saya pernah bangkitkan dalam perbahasan Bajet tahun lalu.
“Ini boleh dilakukan, terdapat tiga cara iaitu pasca COVID-19, kerajaan boleh bantu KWSP meraih pendapatan lebih dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP, contohnya sebelum ini, projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek di United Kingdom serta pemilikan 49 peratus di dalam syarikat PLUS,” katanya.