1 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada individu meninggal dunia akibat kesan menerima vaksin COVID-19, sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari hingga Rabu lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ia berdasarkan penilaian kasualiti dijalankan KKM terhadap impak pemberian vaksin COVID-19.
“Daripada jumlah kes serius yang diterima setakat ini, terdapat 519 laporan merekodkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin COVID-19.
“Namun begitu, selepas penilaian kasualiti dijalankan, tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19 yang diberikan, setakat ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BERSATU-Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang bertanyakan langkah keselamatan dijalankan KKM bagi memastikan vaksin diterima bersesuaian dengan penerima dan bentuk pampasan diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, sehingga kini tiada permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 diluluskan kepada penerima vaksin itu, yang mendakwa mengalami kesan sampingan serius atau kematian akibat pelalian berkenaan.
Beliau berkata, KKM menerima 22,132 laporan kesan sampingan melalui sistem pelaporan sedia ada, bersamaan 0.45 laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.
“Daripada jumlah itu, katanya, 1,483 laporan atau 0.03 bagi setiap 1,000 dos vaksin, dikategorikan sebagai serius, yang mana penerima vaksin menerima rawatan di hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut selama beberapa hari.
“Semua kes dikategorikan sebagai serius disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan, dan laporannya diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) untuk penilaian kasualiti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin yang diambil,” katanya.