2 NOV: Kerajaan akan menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak sebagai sebuah agensi khusus bagi menjaga kebajikan lebih 9.24 juta kanak-kanak di Malaysia pada masa depan.
Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata jabatan itu akan diwujudkan daripada Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi lebih tumpuan kepada hal ehwal kanak-kanak.
Katanya, penubuhan jabatan khusus untuk kanak-kanak itu akan melalui tiga fasa, namun tempoh ia ditubuhkan masih belum ditetapkan memandangkan ia turut membabitkan beberapa kementerian dan agensi berbeza.
“Bagi fasa pertama, ia bermula dengan pengukuhan Bahagian Kanak-Kanak JKM yang membabitkan pemusatan fungsi berkaitan kanak-kanak secara dalaman di JKM.
“Dalam fasa kedua, penstrukturan semula Bahagian Kanak-Kanak JKM yang membabitkan penggabungan beberapa bahagian bagi tujuan pemusatan dan pertambahan fungsi berkaitan kanak-kanak.
“Fasa ini akan membabitkan naik taraf gred Pengarah Kanak-Kanak dan pelantikan beberapa pegawai tambahan.
“Fasa ketiga pula akan menyaksikan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak sebagai agensi baharu, yang akan membabitkan pindaan akta berkaitan bagi tujuan pemusatan fungsi berkaitan kanak-kanak, kementerian dan jabatan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN-Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanyakan sama ada kerajaan akan menubuhkan jabatan khusus untuk kanak-kanak susulan ketika ini, hanya lima pegawai dipertanggungjawabkan menjaga urusan membabitkan 9.24 juta kanak-kanak seluruh negara.
Menjawab soalan asal Azalina berhubung kemajuan penubuhan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak, Siti Zailah memaklumkan cadangan itu perlu mengambil kira keberkesanan fungsi Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk satu penggal terlebih dahulu.
Ketika ini, katanya, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk tempoh tiga tahun mulai mulai 27 April 2019 hingga April 2022.
“Pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) ini dilaksanakan tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Sehubungan itu, cadangan mewujudkan Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak yang khusus adalah ketetapan dasar di bawah bidang kuasa BHEUU JPM supaya tidak bertindih dengan fungsi SUHAKAM sedia ada.
“Berdasarkan maklum balas daripada BHEUU JPM, ketetapan dasar ini perlu mengambil kira keberkesanan fungsi Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang diwujudkan untuk satu penggal serta kemampuan kewangan kerajaan pada ketika ini,” katanya.