2 NOV: Syarikat luar pesisir yang dikaitkan dengannya dalam pendedahan Kertas Pandora adalah syarikat yang sudah tidak aktif.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa, menjelaskan kerajaan tidak menerima atau memasukkan sebarang dana kepada syarikat di British Virgin Islands itu dan aktiviti ketika syarikat berkenaan aktif pula diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Saya ingin ambil kesempatan ini kerana saya juga dinamakan dalam pendedahan Kertas Pandora.
“Saya ingin maklumkan kepada Ahli Parlimen di sini bahawa syarikat yang disebutkan itu adalah syarikat yang tidak aktif, di mana tiada suntikan saham, aset dan tiada deklarasi dividen pun.
“Modal yang ada dalam syarikat itu sewaktu saya di sana adalah di bawah pengetahuan LHDN, di mana cukai ke atasnya telah pun dibayar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH-Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang bertanya berhubung dakwaan kira-kira 1,500 rakyat Malaysia membawa keluar wang berjumlah RM1.8 trilion ke pusat kewangan luar pesisir seperti Singapura dan British Virgin Islands antara 2004 hingga 2014, seperti didedahkan dalam Kertas Pandora.
Media sebelum ini, Kertas Pandora yang mendedahkan rekod sulit milik 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir, turut menyebut beberapa nama ahli politik negara, termasuk Yamani Hafez.
Untuk rekod Yamani Hafez disebut sebagai antara pengarah syarikat Great Ocean Consultants di British Virgin Islands antara 2013 hingga 2015.