2 NOV: PAS akan menarik diri jika berlaku pertembungan tiga penjuru di satu-satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November ini.
Pesuruhjayanya, Datuk Kamarudin Sidek berkata, biarpun akur dengan keputusan penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka, PAS tetap dengan pendirian tidak akan bertembung dengan calon UMNO.
“PAS Melaka akur kerana PN sudah didaftarkan sebagai sebuah parti politik, manakala Muafakat Nasional (MN) pula tidak didaftarkan.
“Tetapi PN dan BN sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi. (Namun) jika berlaku juga (pertembungan kerusi), PAS akan mengambil sikap menyokong penyandang kerusi yang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja parti itu meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.
Ketetapan itu mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS.
UMNO Melaka pula dilaporkan hanya akan bekerjasama dengan PAS pada PRN dalam usaha memperkukuhkan lagi MN, sekali gus menolak kerjasama dengan BERSATU.