2 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengawal ketat pengoperasian Digital Nasional Berhad (DNB) selaku pengendali perkhidmatan borong tunggal 5G.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata antara lain, SKMM mengenakan syarat yang melarang DNB daripada terbabit dalam aktiviti runcit.
Beliau berkata bagi memastikan kos perkhidmatan borong ditawarkan DNB berada pada tahap munasabah, SKMM turut menetapkan beberapa syarat dalam lesen berhubung tanggungjawab DNB berkaitan kos capaian.
“Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut memberi kuasa kepada SKMM untuk menetapkan harga borong secara mandatori melalui Standard Mandatori mengenai Harga Akses sekiranya campur tangan SKMM melalui pendekatan ini diperlukan bagi memastikan harga perkhidmatan yang berpatutan dapat diberi kepada pengguna untuk perkhidmatan 5G kelak,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bebas-Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar mengenai analisis impak terhadap pelaksanaan peralihan teknologi 5G secara keseluruhannya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Zahidi berkata DNB adalah sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan Kementerian Kewangan untuk menjalankan projek 5G.
Beliau berkata perjalanan teknologi 5G di Malaysia bermula apabila negara berjaya mendemonstrasikan 71 kes kegunaan 5G melalui Projek Demonstrasi 5G Malaysia (5GDP) yang dijalankan pada Okt 2019 hingga penghujung tahun lalu di 50 tapak merentasi tujuh negeri iaitu Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Katanya, projek demonstrasi itu memberi tumpuan kepada sembilan sektor industri iaitu bandar pintar, hiburan/media, minyak dan gas, pelancongan, pembuatan dan pemprosesan, pendidikan, pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan digital dan pertanian melalui sokongan dan komitmen daripada penggiat industri telekomunikasi dan multimedia dengan sumbangan pelaburan bernilai RM131 juta.
“Projek Demonstrasi 5G ini adalah bagi membolehkan rangkaian dan perkhidmatan 5G yang menyeluruh dan berimpak tinggi dapat dirancang. Ini juga selaras dengan kebolehupayaan teknologi 5G yang lebih tertumpu kepada pengguna sektor perusahaan dan industri, berbanding pengguna biasa,” katanya.