3 NOV: Keputusan PAS mahu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencerminkan semangat muafakat yang utuh di kalangan gabungan parti komponen terbabit.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali berkata gabungan parti berkenaan menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersetuju untuk menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka nanti.
“Ketetapan yang ditegaskan melalui kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama,” katanya dalam satu kenyataannya.
Pada Isnin lalu, PAS akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN pada PRN Melaka.
Abdul Hadi, berkata penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Mengulas lanjut, Mohamwd Azmin yang juga Ahli Majlis Tertinggi BERSATU berkata, PN bertekad untuk menggembeleng kesatuan bagi menjamin kestabilan Kerajaan serta kesinambungan pelaksanaan dasar dan inisiatif demi kemaslahatan sosioekonomi dan kemakmuran negara.
“Ini bagi mendepani cabaran pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara.
“PN yakin dan percaya bahawa rakyat Negeri Melaka cukup matang dan bijaksana untuk mendukung wadah PN yang sentiasa menganjurkan perpaduan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.