5 NOV: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 3 November.
Beliau berkata, Speaker DUN akan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pembubaran DUN Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan negeri sekarang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya negeri Sarawak diadakan.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 2, Wisma Bapa Malaysia, sebentar tadi.
Turut hadir pada sidang media khas itu ialah barisan pemimpin utama daripada setiap komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), antaranya Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Semalam media dimaklumkan berhubung sidang media hari ini, namun ia tidak memperincikan sama ada ia ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Namun media sejak awal lagi menjangka ia berkaitan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 negeri itu.
Sebelum ini, teka-teki mengenai PRN Sarawak semakin memuncak apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.
Bagaimanapun, tiada tarikh tertentu dinyatakan bagi menandakan berakhirnya Proklamasi Darurat berkenaan.
Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.