5 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melancarkan Ops Menu bagi mengelak peniaga memanipulasi harga makanan.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, pemeriksaan itu antara lain bertujuan untuk memastikan restoran dan kedai makan mematuhi perundangan seperti penandaan harga serta penggunaan alat timbang yang sah bagi tujuan perdagangan.
Beliau berkata, pemeriksaan itu sekali gus dapat mengelakkan manipulasi harga dan penipuan timbangan oleh peniaga yang tidak beretika.
“Ops Menu akan memfokuskan premis yang menyediakan makanan siap masak termasuk restoran dan kedai makanan Melayu, Cina, India, India Muslim, medan selera, restoran makanan laut dan seumpamanya.
“Sasaran pemeriksaan membabitkan tanda harga serta alat timbang dan sukat yang digunakan untuk oleh restoran selain kedai makan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan pengusaha restoran dan kedai makan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
Azman jua meminta pengguna supaya lebih berhati-hati dan bijak membuat pilihan dalam berbelanja dengan memilih restoran dan kedai makan yang beretika seperti mempamerkan tanda harga.
“Pengguna juga perlu memastikan pengusaha premis itu menggunakan alat timbang bagi tujuan perdagangan yang masih sah tempohnya bagi mengelak diperdaya.
“Pengguna dinasihati membuat perbandingan harga serta memilih restoran dan kedai makan yang menawarkan harga dan perkhidmatan terbaik sebelum menikmati juadah,” katanya.
Beliau berkata kuasa pengguna adalah langkah pencegahan terbaik sebelum terkeliru atau dimanipulasi peniaga tidak bertanggungjawab dan tindakan penguatkuasaan adalah jalan terakhir ke atas peniaga terbabit.
Aduan berkaitan peniaga seperti ini boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di 019-2794317, e-aduan.kpdnhep.gov.my atau talian 1-800-88-6800.