6 NOV: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad, tidak kecewa dan berkecil hati apabila namanya tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Katanya, beliau tidak berkecil hati namanya tidak tersenarai pada PRN terbabit dan terbuka memberi peluang kepada muka baharu menggantikan tempatnya.
Malah, katanya, jika bukan menjadi wakil rakyat, beliau juga boleh membantu penduduk termasuk menyelesaikan masalah rakyat dan membawa perkara itu kepada wakil rakyat baharu serta menyalurkan kepada agensi berkaitan.
“Walaupun (pada mulanya) berlaku sedikit rasa kurang senang dengan nama yang dinamakan, akhirnya penyokong reda. Saya akan terus berbakti dan berkhidmat kepada UMNO dan BN.
“Saya akan memberi tunjuk ajar dan membantu pengganti saya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini,”
“Kini, semua pihak mengatur gerak bersama untuk memastikan calon yang dinamakan akan memenangi PRN kali ini,” katanya.
Bekas Timbalan Speaker DUN Melaka itu juga yakin dengan pemilihan calon BN iaitu Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira pada PRN kali ini.
Mengulas lanjut, Ghazale berkata Dira memiliki wibawa tersendiri dan mampu menggalas tanggungjawab berkenaan terutama mendekati rakyat dan menyelami permasalahan mereka.
Ghazale berkata, anak bekas Ketua Menteri Melaka itu juga memahami isi hati rakyat, tambahan Allahyarham ayahnya, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga amat sinonim dengan penduduk di Jasin, termasuk di Rim.
Justeru, beliau akan sentiasa bekerjasama dengan Khaidhirah dan semua calon lain di seluruh Melaka pada PRN kali ini.