6 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur jajaran Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid hari ini.
Perdana Menteri berkata, projek itu melibatkan tiga pakej iaitu pakej 28, 29 dan 30, sepanjang 58 kilometer dengan kos pembinaan RM877 juta.
Beliau berkata, skop projek itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, pembinaan tiga jambatan baharu, dan satu persimpangan bertingkat.
“Apabila siap kelak, laluan ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa, cekap dan selamat kepada penduduk,” katanya ketika berucap melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Zon Timur di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Ismail Sabri berkata, kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024.
Tambahnya, dalam melaksanakan projek berkenaan, kerajaan membuka ruang penglibatan untuk rakyat tempatan Sabah sepenuhnya.
“Ada yang telah dilantik sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor serta mencipta peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia di Sabah.
“Selain itu ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga telah dapat dilahirkan
dan secara langsung memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sabah khususnya, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan,” katanya.