6 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang mengemukakan permohonan mahkamah untuk mewartakan Melaka sebagai kawasan larangan menerbangkan dron sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN), Isnin depan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, usaha itu dilakukan selepas mengambil kira ia boleh menjadi ancaman dan provokasi sepanjang PRN.
Hazani berkata tindakan itu perlu kerana penerbangan dron berkenaan dikhuatiri untuk tujuan risikan atau pencerobohan privasi, antara bentuk ancaman lain yang dikhuatiri akan digunakan sebagai senjata termasuk membawa cecair berbahaya atau insiden terhempas.
“Kita telahpun berbincang dan akan mengemukakan permohonan mahkamah pada Isnin ini untuk mewartakan kawasan larangan menerbangkan dron di Melaka sepanjang PRN berlangsung.
“Kita lihat dron ini boleh menjadi ancaman dan provokasi kerana ia boleh dijadikan senjata, tidak kiralah bawa gas atau cecair berbahaya atau sengaja dihempaskan terhadap kumpulan tertentu disebabkan rasa ketidakpuasan hati,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja Op PRN Melaka di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang, Melaka hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali dan Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah.
Mengulas lanjut, Hazani berkata permohonan itu juga akan diperhalusi bersama Jabatan Peguam Negara dan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum dikemukakan ke mahkamah oleh Abdul Majid.
Hazani berkata, sekiranya ada pihak yang ingin menerbangkan dron, mereka mestilah mendapatkan permit daripada pasukan keselamatan dan CAAM.
“Kita bagi juga kebenaran untuk terbangkan dron tetapi mereka perlu dapatkan permit yang sah dan mengikuti syarat serta kaedah tertentu termasuk kilometer atau radius penerbangan.
“Permohonan permit dengan spesifikasi dron ini penting bagi tujuan pemantauan jumlah dron dan sekiranya kita kesan dron yang tidak dikenali, tindakan lanjut akan dilaksanakan bagi menjaga ketenteraman awam,” kataya.