7 NOV: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan calonnya di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), tidak lama lagi.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tindakan itu sekali gus menyaksikan tiada ruang untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk meletakkan calon mereka.
Abdul Karim menegaskan, sebelum ini GPS sudah memaklumkan untuk bertanding di semua kawasan dan keputusan itu kekal.
“Justeru, BERSATU sebagai rakan di peringkat Kerajaan Persekutuan perlu menghormati pendirian GPS.
“GPS mempunyai komponen sendiri yang terdiri daripada empat parti dan kami sudah berbincang dan mencapai keputusan mengenai pengagihan kerusi,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta Sarawak Adventure Challenge 5.0 di Siniawan, Bau, Sarawak hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GPS akan memberi laluan kepada penyandang bagi kawasan DUN Krian, Datuk Ali Biju dari BERSATU untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya ketika mewakili PKR pada 2016.
GPS adalah gabungan empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PR) Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sementara itu, Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, PRN-12 adalah masanya untuk Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sokongan mereka kepada GPS.
Beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, ia sebagai balasan kepada GPS yang memberi sokongan kepada PN bagi menstabilkan kerajaan Persekutuan.
“Seperti yang diketahui, GPS sudah menetapkan untuk meletakkan calon di 82 kawasan. Justeru, ini adalah masa untuk PN menunjukkan sokongan kepada GPS dengan membantu dan menyokong GPS pada PRN-12 nanti,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke tapak pembinaan blok bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Haji Bolhassan hari ini.