7 NOV: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membelanjakan RM2.5 juta bagi projek ameniti sosial di seluruh negeri itu tahun ini.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan itu lebih tinggi berbanding tahun 2020 iaitu hanya sebanyak RM1.5 juta.
“KEDA telah menyalur peruntukan sebanyak RM2.5 juta kepada 77 kategori kerja. Sebanyak 67 kategori kerja telah siap manakala selebihnya sedang dalam pelaksanaan.
“Antara projek ameniti sosial itu termasuk menaik taraf dan baik pulih longkang, dewan serba guna dan surau serta menurap ruang parkir dewan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh, Sungai Petani hari ini.
Mahdzir berkata, pembinaan dewan serba guna itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 orang penduduk di kawasan berkenaan yang sebelum ini tidak mempunyai dewan.
“Pembinaan dewan berkeluasan 264 meter persegi dan infrastruktur berkaitan menelan belanja lebih RM400,000 dan mampu memuatkan kira-kira 200 orang dalam satu masa,” katanya.
Sementara itu, KEDA menurut Mahdzir, akan meneruskan pembangunan fasa dua Kompleks Pendidikan Al-Hidayah di Desa Che Bema di sini dengan tambahan pembinaan dewan serba guna, bilik kuliah dan 30 unit penginapan berteres kepada para pelajar.
Jelasnya, kompleks yang ditubuhkan pada 2016 itu, bertujuan mengimbangi pembangunan fizikal dan modal insan kerohanian di desa-desa KEDA dan kawasan sekitarnya.
“Hasrat KEDA adalah untuk mewujudkan sebuah hab pembangunan modal insan dan kerohanian di kawasan luar bandar di Kedah.
“Pembangunan modal insan dan kerohanian ini penting dalam mendepani cabaran pada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat berkeperibadian yang berkualiti,” kataya.
Pada masa kini, KEDA sedang menjalinkan kerjasama dengan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah bagi memperkemaskan pengurusan pusat pengajian kerohanian itu.
Ketika ini, pusat tersebut menempatkan seramai 80 pelajar perempuan yang sedang mengikuti pengajian tahfiz.