11 NOV: Keputusan kerajaan menggantikan kereta Proton Perdana kepada Toyota Vellfire telah dipertimbangkan semasa pentadbiran Kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, antara faktor lain keputusan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) itu dibuat adalah kerana kos sewaan bulanan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Proton Perdana 2.4 Premium.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu menyatakan bahawa kos sewaan sebulan Proton Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Toyota Vellfire 2.5 pula berjumlah RM4,851.61.
Kenyataan turut menyebut, kerajaan menggunakan Toyota Vellfire 2.5 sebagai KRJ Menteri-Menteri Persekutuan bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium telah ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2014.
Kementerian mengeluarkan kenyataan itu susulan terdapat perbincangan mengenai pertukaran KRJ di dalam media sosial.