7 NOV: PAS puas hati dengan pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengagihan kerusi dibuat hasil perbincangan dan persetujuan bersama Parti Pribumi Malaysia Bersatu (BERSATU) dan GERAKAN.
“Hasil perbincangan berkenaan seperti yang diumumkan, bermakna bagi kami (PAS) tidak timbul isu tidak puas hati dan sebagainya sebab memang dirunding pada peringkat awal.
“Persetujuan bersama untuk setiap parti bertanding, tetapi sebagai satu pasukan. Walaupun jumlah kerusi itu (mengikut) parti masing-masing, kita akan duduk sebagai satu pasukan kerana kita bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan bukan atas tiket parti masing-masing,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 Kuala Terengganu, hari ini.
Ketika ditanya mengenai hala tuju Muafakat Nasional (MN) yang mungkin terjejas atau sebaliknya, Tuan Ibrahim memaklumkan MN tidak berdaftar atas parti politik.
“Sebab Muafakat Nasional tidak berdaftar, bagi kami Muafakat Nasional ialah satu medan besar untuk penyatuan ummah.
“Ia bukan hanya sekadar untuk pilihan raya (tetapi) gagasannya ialah penyatuan ummah yang bukan hanya untuk pilihan raya.
“Pilihan raya mesti parti berdaftar dan sebab itu PAS bertanding atas tiket PN sebab ia berdaftar,” katanya