8 NOV: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bakal berhadapan dengan saingan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zainal Hassan paling awal tiba jam 8.08 pagi bersama seorang penyokong dan pencadang di pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara.
Ini diikuti calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tiba di pekarangan dewan berkenaan jam 8.40 pagi, dengan ketibaannya diiringi bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
Tepat jam 8.49 pagi, calon Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula tiba di pusat bersama penyokong dan pencadang.
Tepat jam 9 pagi tadi, pusat penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara itu dibuka bagi calon untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.
Setakat jam 9.25 pagi ini, tiada kelibat calon lain termasuk dari Bebas dilihat memasuki pusat penamaan tersebut.
Petugas media juga dilarang memasuki dewan berkenaan dan kebenaran liputan hanya dihadkan di kawasan luar pagar serta pekarangan dewan yang dikawal ketat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kerusi DUN Tanjung Bidara sebelum ini disandang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Md Rawi daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
DUN Tanjung Bidara juga antara kerusi panas yang menjadi rebutan dalam PRN kali ini.