8 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan dua skop penilaian iaitu situasi penularan COVID-19 dalam negara dan kapasiti bagi respons kepada COVID-19 bagi memastikan proses peralihan kepada ke endemik dilaksanakan dengan selamat, berhati-hati dan lestari.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata tindakan berkenaan perlu kerana Malaysia ketika ini berada di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata sehingga 8 November 2021, sebanyak 11 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah berada di dalam fasa 4 manakala hanya Sarawak dan Kelantan sahaja yang masih di bawah fasa 3 PPN.
Katanya, buat masa ini, Malaysia sedang dalam proses peralihan daripada pandemik kepada endemik.
“Bagi memastikan proses peralihan kepada endemik dilaksanakan dengan selamat, berhati-hati dan secara lestari, KKM menetapkan dua skop penilaian iaitu situasi penularan COVID-19 dalam negara dan kapasiti bagi respons
kepada COVID-19.
“Terdapat tujuh domain dalam skop ini iaitu: A – Skop situasi COVID-19 mempunyai empat domain (Kes teruk; Kematian; Penularan jangkitan COVID-19; dan Liputan vaksinasi.
“Skop kapasiti untuk respons pula mempunyai tiga domain iaitu Kapasiti fasiliti hospital; Kapasiti makmal; dan Petugas kesihatan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH-Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci bagaimana KKM bercadang untuk transisi dari pendekatan pandemik ke endemik COVID-19 dan apakah parameter yang digunakan untuk menilai kesediaan Kerajaan untuk transisi secara selamat dan lestari.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata dalam Skop situasi COVID-19 mempunyai empat domain iaitu kes teruk; kematian; penularan jangkitan COVID-19; dan liputan vaksinasi.
Beliau berkata skop kapasiti untuk respons mempunyai tiga domain iaitu kapasiti fasiliti hospital; kapasiti makmal; dan Petugas kesihatan.
Katanya, bagi setiap domain, terdapat parameter atau indikator yang digunakan untuk mengukur kesediaan Malaysia beralih ke fasa endemik termasuklah situasi COVID-19 di mana kadar kemasukan ke wad bagi kes COVID-19 kategori 3, 4 dan5 per 100,000 populasi.
“Peratusan kes berumur melebihi 60 tahun dan ke atas dengan ko-morbid; kadar kematian purata kes tempoh tujuh hari (mengikut tarikh kematian, denominator adalah purata jumlah kes).
“Dari segi kadar insiden purata kes COVID-19 bagi tempoh tujuh hari (per 100,000 populasi) dan kadar positif COVID-19 dari sampel survelan influenza-like illness (ILI), survelan severe acute respiratory infection (sARI), prapembedahan dan prakemasukan ke wad; dan liputan vaksinasi COVID-19,” katanya.
Beliau berkata KKM juga akan mengambil kira dari segi kapasiti untuk respons merangkumi kadar penggunaan katil di hospital untuk kes COVID-19 misalnya kadar penggunaan katil di ICU; keperluan pembukaan PKRC; keputusan ujian RT PCR diperoleh dalam tempoh 48 jam.
“KKM juga akan mengambil kira peratusan ujian positif per jumlah ujian dijalankan (RT PCR, RTK Ag professional & kendiri); dan peratusan kakitangan kesihatan terkesan dengan jangkitan COVID-19.
“Bagaimanapun pengiraan bagi kesemua parameter ini adalah untuk kegunaan KKM memandangkan ianya terlalu
teknikal.
“Apabila negara berada dalam fasa endemik ini kelak, jumlah kes harian akan tetap berlaku dan berkemungkinan boleh meningkat.
“Oleh yang demikian, proses peralihan yang berlangsung ketika ini amat penting sebagai persediaan bagi memastikan bilangan kes yang memerlukan kemasukan ke hospital dan kematian disebabkan COVID-19 adalah lebih terkawal,” katanya.
Justeru, Dr Noor Azmi berkata bagi pemantauan mudah dilakukan oleh masyarakat umum, tiga indikator dipilih iaitu transmisi COVID-19 – penularan dalam komuniti yang diukur menggunakan kadar insiden purata tujuh hari kes COVID-19; – dengan kadar insiden kurang daripada 3.6 per 100,000 penduduk.
“Kita juga akan mengambil kira pengendalian kes – keterukan kes COVID-19 yang diukur menggunakan kadar kematian purata tujuh hari dengan nilai 0.8% dan kurang; selain, kapasiti hospital untuk respon iaitu kadar kemasukan ke hospital purata tujuh hari pesakit kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 1 per 100,000 penduduk sehari.
“Sehingga Malaysia benar-benar bersedia memasuki fasa endemik, Kerajaan akan terus mengekang penularan pandemik melalui tindakan termasuk meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi ancaman daripada kemunculan varian baharu dan peningkatan kes, di peringkat daerah, negeri dan hospital.
“Kerajaan juga akan memastikan pencapaian liputan vaksinasi yang sewajarnya, termasuk dos tambahan/penggalak kepada kumpulan sasar.
“Kita juga meningkatkan penglibatan pelbagai pihak dan perkongsian maklumat yang lebih telus dengan masyarakat agar saranan serta informasi dari Kerajaan dapat diterima dan dilaksanakan,” katanya.