8 NOV: Calon Barisan Nasional (BN) Fairul Nizam Roslan tidak gentar biarpun terpaksa menghadapi saingan enam penjuru bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Asahan yang menjadi kubu kuat UMNO selama ini.
Fairul Nizam menegaskan beliau juga tidak gentar berdepan lima lagi calon lain termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bagi merebut kerusi DUN Asahan.
Beliau juga dijangka menghadapi saingan empat lagi calon lain iaitu Danesh Basil (PN), dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Abdul Hamid dan Mohd Akhir Ayob.
Walaupun diumumkan sebagai calon muka baharu, Fairul Nizam, 43, menegaskan bersedia untuk menghadapi persaingan termasuk daripada bekas Ketua Menteri Melaka itu, kerana yakin rakyat mampu membuat penilaian sewajarnya.
Baginya, matlamat beliau ialah berkhidmat sepenuh dedikasi untuk membela dan mengutamakan rakyat dengan pendirian berprinsip dalam berparti.
Katanya, beliau akan bertanding atas pegangan maruah parti dan teguh mendukung perjuangan BN yang memiliki rekod cemerlang membela rakyat dan membangunkan negara.
“Saya seorang yang berprinsip, lebih-lebih lagi dalam perjuangan politik. Justeru, fokus serta matlamat saya jelas bersama BN yang menjadi asas pembangunan negara.
“Dalam keadaan rakyat sedang dihimpit masalah ekonomi kini, kita harus mengutamakan ‘perut’ rakyat dan bukan berebut kuasa politik,” katanya.
Fairul Nizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Melaka berpendapat sehebat mana sekalipun seseorang ahli politik itu tetapi jika mengabaikan prinsip, amanah dan tanggungjawab, individu terbabit tidak harus mendapat sokongan serta perlu ditolak rakyat pada PRN kali ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk setiap ahli politik mempunyai nilai prinsip yang baik dan jitu supaya lebih dihormati masyarakat, termasuk oleh pesaing dari parti lain.
Fairul Nizam mengaku hubungannya dengan Idris yang bakal bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), adalah sangat baik tanpa masalah peribadi.
Namun, katanya, beliau akan mendepani saingan Idris dan calon lain, bersama tekad mendekati rakyat sebagai amanah serta tanggungjawab.
Fairul Nizam berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia, bakal bertanding di kerusi DUN Asahan yang disandang Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (BN) yang tidak diumumkan sebagai calon parti pada PRN kali ini.