8 NOV: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnoor Husin, tidak gentar untuk berhadapan dengan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, pada PRN Melaka nanti.
Hasnoor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya juga menganggap persaingan sebenar merebut kerusi DUN Bukit Katil, adalah antara BN dan PH, biarpun ada dua lagi calon bebas bertanding di situ.
Beliau juga berpandangan bahawa calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Al Afiz Yahya, sukar meraih kemenangan di DUN Bukit Katil kerana hanya sekadar bergantung undi Melayu, dan tidak akan mendapat lebih daripada itu.
“Saya lihat pandangan bahawa Adly adalah mantan Ketua Menteri…dia dah jadi mantan lebih dari 19 bulan. Pada saya persaingan ini at par, dan masing-masing ada peluang. Jadi saya yakin rakyat akan berbalik kepada BN.
“PAS ini pula bekerjasama dengan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dan kita tahu parti ini juga harapkan undi Melayu. Jadi saya tak fikir mereka boleh dapat undi lebih. Sebab itu saya fokus kepada PH,” katanya lagi.
DUN Bukit Katil bakal menyaksikan empat penjuru antara calon BN, PN, PH dan Abdul Hamid Mustapah dari NGO Gerakan Piagam Rakyat, yang bertanding atas tiket Bebas.
Dalam pada itu, Muhammad Al Afiz, yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka berkata, PN akan memastikan kempen mereka telus, bersih, dan tiada serangan peribadi terhadap calon lawan.
“Kita tak mahu mencari salah dan silap orang, tetapi kita mahu bawa perubahan untuk Melaka. Tak akan ada serangan peribadi dan sebagainya. Pemuda PAS mahu bawa suara yang telus, bersih, di samping memastikan budaya baharu politik negara ini,” katanya.