8 NOV: Malaysia dan Singapura akan membuka Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Vaccinated Travel Lane) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November ini.
Menerusi inisiatif ini, pengembara yang sudah mendapat vaksin penuh akan dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, dan tertakluk kepada ujian COVID-19 sebagai ganti kepada perintah kuarantin atau notis duduk rumah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong, menerusi satu kenyataan bersama juga menyuarakan harapan untuk memulihkan perjalanan merentasi hubungan darat antara kedua-dua negara dalam masa terdekat.
Kedua-dua pemimpin negara berkenaan menyambut baik kemajuan yang sudah dicapai melibatkan skim perjalanan serupa melibatkan laluan darat merentasi Tambak Johor dan Link Kedua.
Bagaimanapun pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura.