8 NOV: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari bermula esok dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo.
Indonesia menjadi negara pertama dikunjungi beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu.
Ismail Sabri juga Perdana Menteri ketiga yang mengadakan pertemuan dengan Joko Widodo sejak 2018 berikutan perubahan tampuk kepemimpinan negara.
Republik itu sentiasa menjadi destinasi pertama lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia selepas dilantik dan seperti kelaziman, tradisi yang sama juga diamalkan oleh Presiden Indonesia. Ia sekaligus menterjemahkan keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.
Kebiasaannya, lawatan rasmi ke Indonesia berlangsung tidak lama selepas Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan, namun sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, perkara itu tidak dapat dilakukan.
Malah sejak tahun lalu, kebanyakan mesyuarat negara serantau termasuk Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan Brunei baru-baru ini berlangsung secara sidang video.
Difahamkan, Ismail Sabri dan Joko Widodo antara lain akan membincangkan perkembangan-perkembangan penting di rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN serta cabaran-cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmurannya.
Perdana Menteri turut dijadual bertemu komuniti perniagaan dan penggiat industri utama Indonesia, ketua-ketua editor negara jiran itu dan diaspora Malaysia di republik berkenaan, selain menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian di antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan rasmi itu, Ismail Sabri turut dijadualkan melawat fasiliti industri pertahanan di Bandung.
Lawatan rasmi ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh dan pelbagai antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga akan memberi peluang kedua-dua pemimpin untuk meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan sulungnya itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.
Lawatan rasmi itu akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Indonesia.