8 NOV: Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh, mengesahkan Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifestonya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Rabu ini.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, antara yang akan diberikan penekanan adalah kestabilan politik negeri ini yang dilihat terumbang ambing ketika ini.
“Manifesto BN akan dilancarkan pada 10 November depan. Sudah pasti kita memerlukan sebuah kestabilan untuk kemakmuran rakyat dan sudah pasti kita akan memberikan beberapa cadangan untuk kita melihat kemakmuran sepanjang koridor Masjid Tanah ini akan memberikan satu pulangan kepada rakyat samada dalam bentuk sosioekonomi ataupun dalam bidang lain,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Melaka, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf, segala cadangan itu akan diterjemahkan dalam perbentangan manifesto nanti.
Ditanya mengenai pergerakan jentera dalam kempen PRN kali ini, Ab Rauf berkata, pihaknya tidak lagi dapat menggerakkan jentera pilihan raya memandangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) PRN Melaka masib belum diumumkan ketika ini.
Berikutan itu, Ab Rauf menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula segala bentuk SOP yang akan dibenarkan supaya semua calon yang bertanding dapat berkempen dan berjumpa dengan pengundi.
“Saya lihat ada dua benda yang agak berbeza di antara SOP yang dikeluarkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan juga taklimat yang diberikan kepada jentera. Jadi saya tadi bersama SPR katakan ada atau tidak garis panduan untuk kita gerak kerja kempen pada hari ini.
“Malang sekali SPR tidak dapat beri dan tunggu SOP daripada MKN,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala undi awal pada 16 November depan.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali