8 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta semua agensi kerajaan supaya menjadi responder yang baik ketika operasi menyelamat atau menguruskan pusat pemindahan.
Ismail Sabri berkata, ia berikutan situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ termasuk cabaran yang dibawa penularan pandemik COVID-19 dan varian-variannya yang masih belum lagi terhapus sepenuhnya dari negara ini.
Beliau berkata, untuk itu, ia akan memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ‘bencana dalam bencana’ terutama ketibaan Monsun Timur Laut pada 3 November lalu.
“Menyedari situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ ini, saya ingin menekankan pentingnya untuk setiap agensi menjadi responder yang baik ketika menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan.
“Ia bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang disediakan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Putrajaya hari ini.