9 NOV: Surat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari dikatakan memohon Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk melantik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, sebagai Ketua Menteri kini tular di media sosial.
Berdasarkan satu surat yang tersebar hari ini dipercayai ditulis Adly kepada Tun Mohd Ali beberapa hari sebelum empat ADUN termasuk Idris menarik sokongan kepada kerajaan negeri.
Surat bertarikh 30 September yang ditandatangani oleh Adly sebagai Ketua Pembangkang dan ADUN Bukit Katil itu memohon ihsan dan kebijaksanaan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk melantik Idris sebagai Ketua Menteri yang baharu.
Menurut surat berkenaan permohonan itu selaras dengan Perkara 7(2)(a) dibaca bersama Perkara 8(2)(a) Perlembagaan Negeri Melaka.
“Saya selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dengan rendah diri dan seikhlasnya mohon mengemukakan surat sokongan serta Akuan Berkanun (SD) bertarikh 30 September 2021, 15 ADUN.
“Bagi mengesahkan dan membuktikan bahawa Datuk Seri Sulaiman Mad Ali tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan sebilangan besar (majoriti) ADUN,” menurut surat berkenaan.
Surat berkenaan turut menyatakan Idris telah mendapat sokongan dan kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Ketua Menteri ke-13 sehingga tamatnya DUN Melaka ke-14.
Adly dikatakan meminta untuk diperkenankan permohonan itu seperti yang berlaku di Perak sebelum ini.
Pada 4 Oktober lalu, dalam satu sidang media Idris bersama tiga lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan terhadap sulaiman dan menyebabkan kerajaan negeri tumbang.
Surat yang tular hari ini membuktikan terdapat usaha PH mengambil alih pemerintahan kerajaan Melaka melalui majoriti ADUN dengan akuan bersumpah (SD), namun tidak berjaya apabila Tun Mohd Ali membubarkan DUN Melaka.