9 NOV: Kementerian Kesihatan berharap semua pihak yang terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak penularan COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata SOP yang dikeluarkan itu adalah untuk menentukan supaya PRN ini dapat dilakukan dengan selamat, selain memastikan wabak COVID-19 tidak menular semula.
“Kita perlu insaf dan belajar daripada apa yang berlaku selepas PRN Sabah dulu. Oleh kerana itu, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) dan Kementerian Kesihatan (KKM) begitu tegas mengatakan semua perkara asas berkaitan SOP yang ditetapkan itu mesti dijaga dan dipatuhi.
“Ini bertujuan menjaga keselamatan semua pihak yang terbabit, keselamatan rakyat dan keselamatan negara. Kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRN Sabah berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini, hari ini.
Konvensyen bertemakan ‘Integriti Keluarga Malaysia Dalam Menghadapi Endemik’ khusus membincangkan isu integriti dalam sistem pembangunan keluarga Malaysia mendepani endemik.
Satu forum turut diadakan mengetengahkan empat panel iaitu bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Prof Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengerusi Kajian
Kepemimpinan dan Polisi Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor.
Panel lain, Setiausaha Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan; Profesor Psikologi Kaunseling, Open University Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Tajudin Md Ninggal, dengan ahli IIM, Mohd Salihin Othman sebagai perantara.
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata calon yang bertanding pada pilihan raya itu juga mesti mempunyai integriti yang tinggi dalam memastikan diri serta semua pihak yang terbabit dalam pilihan raya mematuhi segala SOP ditetapkan.
“Integriti adalah satu perkara yang asas, sekiranya tiada COVID-19 pun kita semua ada integriti dan ia perlu diamalkan dalam semua aspek.
“Untuk PRN, semua memerlukan seorang pemimpin yang ada integriti kerana jika kita pilih pemimpin yang tidak ada integriti, maka negara kita akan hancur.
“Apa yang rakyat mahu tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan hanya dengan integriti, kita dapat memimpin dengan betul,” katanya.
Sementara itu, Noor Azmi dalam ucaptamanya, mengulas mengenai kesediaan rakyat dalam memasuki fasa endemik, yang mana tahap kawalan kendiri yang tinggi dalam kalangan rakyat selain penularan COVID-19 terkawal adalah dua elemen penting yang menjadi penanda aras sebelum Malaysia boleh memasuki fasa endemik.
“Dalam persediaan ke fasa endemik, rakyat memerlukan lebih banyak program serta promosi pendidikan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terutama keperluan melakukan ujian kendiri dan kaedah pencegahan COVID-19.
“Tanggungjawab meningkatkan kefahaman dalam kalangan rakyat bukan hanya tanggungjawab KKM semata-mata, sebaliknya turut membabitkan Keluarga Malaysia yang besar termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi masyarakat,” katanya.
Noor Azmi berkata, dalam menghadapi fasa endemik, integriti atau disiplin, masyarakat perlu berada pada tahap tertinggi untuk memastikan kes sentiasa terkawal, sekali gus tidak berlaku peningkatan secara mendadak serta membabitkan kawasan besar.
Katanya, rakyat juga diminta terus berintegriti dengan sentiasa berwaspada dan tidak mengabaikan SOP ditetapkan, lebih-lebih lagi selepas kerajaan membenarkan rentas negeri yang boleh membawa kesan kepada peningkatan kes baharu COVID-19.