10 NOV: Pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 16,229 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengusir lebih 3,666 warga asing yang cuba membolosi sempadan Malaysia secara haram sepanjang 18 bulan pelaksanaan Op Benteng sehingga 31 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata Op Benteng juga berjaya menyekat kegiatan penyeludupan di sempadan negara dengan anggaran nilai rampasan berjumlah lebih RM668.47 juta termasuklah bahan terlarang, kenderaan dan barangan peribadi.
“Bagi memastikan Op Benteng ini terus berkesan, pihak Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuhkan untuk menambahbaik keupayaan ATM melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta meneruskan peruntukan belanjawan tahunan kepada operasi ini pada tahun depan,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PAS-Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman meminta menteri berkenaan menyatakan keberkesanan pertahanan negara bagi operasi National Task Force (NTF) melalui Op Benteng di kawasan sempadan negara Laut China Selatan termasuk pulau-pulau berdekatan kerana ancaman pencerobohan yang kerap oleh kapal negara luar.
Terdahulu, Ikmal Hisham berkata pelaksanaan Op Benteng adalah melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain agensi Kerajaan.
Beliau berkata objektif utama pelaksanaan operasi ini adalah untuk menghalang kemasukan PATI bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Inisiatif ini dapat mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di persempadanan negara sama ada sempadan darat mahupun sempadan perairan negara.
“Suka saya jelaskan disini, pengoperasian Op Benteng melibatkan kawasan operasi di sempadan daratan negara yang meliputi Utara Semenanjung Malaysia dan sempadan daratan Sarawak-Kalimantan.
“Manakala bagi operasi di kawasan perairan pula ianya melibatkan perairan Selat Melaka Utara, perairan Pantai Barat Semenanjung, perairan Johor dan pesisir Pantai Timur Sabah,” katanya.