10 NOV: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semakin aktif membantu komuniti menerusi program MARA Prihatin dan terkini Bersama Komuniti Orang Asli di Surau Pos Kuala Mu, Sungai Siput.
Program yang turut melibatkan agensi- agensi di bawah KPLB iaitu MARA Negeri Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak, GIATMARA Negeri Perak dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) itu menyaksikan penyerahan beberapa bentuk bantuan kepada komuniti dan pelajar masyarakat Orang Asli.
Menurut kenyataan KPLB hari ini, dalam program itu seramai 278 pelajar anak Orang Asli menerima bantuan persekolahan dan dua keluarga menerima bantuan kebakaran rumah daripada YPM.
“MARA Negeri Perak pula menyerahkan cenderamata kepada Surau Kuala Mu selain YPM yang menyumbang RM1,000 untuk pembangunan pendidikan setempat.
“Turut disumbangkan naskhah al-Quran dan buku terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM),” kata kenyataan itu.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Eksekutif YPM Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin, Pengarah MARA Negeri Perak Lailatul Asmah Mohd Tahir , Wakil Pengarah Pengurus Pejabat Orang Asli One Stop Centre Bawong, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak & Kedah Johari Zakaria, Pengarah GIATMARA Negeri Perak Jamaludin Ali dan Pengurus Kanan Pembangunan Dana YPM Zainal Rashid Zakaria.
Kolaborasi antara agensi di bawah KPLB itu merupakan satu inisiatif bersama dalam merumuskan wawasan “Luar Bandar Yang Sejahtera, Inklusif, Mampan dan Holistik” sebagai agenda utama dalam proses pembangunan luar bandar di negara ini.