10 NOV: Aktiviti keusahawanan luar bandar mampu membantu membangunkan kawasan luar bandar dan meningkatkan kualiti kehidupan warganya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perlu ditekankan kepentingan untuk meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital untuk memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca COVID-19.
“Aktiviti keusahawanan luar bandar mampu meningkatkan kualiti kehidupan bagi invidividu, keluarga dan komuniti di luar bandar,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN.
Program anjuran kementerian tersebut melalui Institut Kemajuan Desa itu telah disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan usahawan luar bandar dari negara-negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga seperti Singapura, Thailand, Kemboja, Filipina, Jepun, Republik Rakyat China dan Malaysia.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Sosio Budaya), TYT Ekkaphab Phanthavong dan Sekretariat ASEAN.
Forum ini merupakan salah satu daripada komitmen Malaysia dalam Kerangka Pelan Tindakan ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 hingga 2025.
Ia bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dan bertukar pandangan di kalangan negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga mengenai isu serta cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana luar bandar semasa pendemik COVID-19.
Pada forum itu turut dibincangkan hala tuju dan tindakan untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan luar bandar pasca COVID-19.
Selain itu, beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran COVID-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan.
Hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masing-masing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital.