12 NOV: Amalan bergabung parti di peringkat Kerajaan Persekutuan namun berlawan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masih asing di negara ini berbanding negara luar.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai negara demokrasi, setiap parti perlu berdepan pilihan raya bagi menubuhkan kerajaan.
“Bagi negara kita asing tapi ada negara jiran bersepakat di peringkat negara namun partinya di peringkat persekutuan tidak ada pun,” katanya ketika ditanya bagaimana Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dapat berkuasa bersama di peringkat Kerajaan Persekutuan namun berlawan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika ini.
“Beliau berkata demikian kepada media pada Sembang Santai Bersama Media di ibu negara malam tadi.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, BN dan PN bersetuju untuk menubuhkan kerajaan atas beberapa parti Semenanjung dan Sarawak atas kesepakatan.
“Kombinasi parti sokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri atas kesepakatan.
“Apa yang berlaku di Melaka bertanding atas parti BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) tetapi kena tengok kemahiran apa berlaku di Melaka di mana pemilihan proses pilihan raya negeri adalah demokrasi yang berjalan bagi menghormati penubuhan kerajaan dari parti tertentu,” katanya.
Ditanya peluang BN untuk menang, Mahdzir yakin peluang dan ruang itu tetap ada.
Jelas beliau, sebagai parti politik, strategi memainkan peranan penting untuk mencapai kemenangan.
“Ada cara dan strategi untuk menang tanpa perlu menjadikan ucapan politik berkobar.
“Ada strategi memberitahu rakyat bagaimana BN bekerja itu lebih elok daripada menjadikan politik hiruk-pikuk,” katanya.
Sementara itu, Malam Sembang Santai berkenaan bagi meraikan kerjasama dan sumbangan pihak media yang banyak membantu dalam menyebarluaskan liputan dan publisiti mengenai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Majlis ini sebagai medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim, berkenal-kenalan, bertukar-tukar fikiran dan mengembangkan idea bagi mengenal pasti pendekatan yang lebih berkesan dalam usaha KPLB memajukan masyarakat luar bandar.
“Tanpa bantuan dan kerjasama rakan media yang setiasa memberi sokongan padu dan tanpa jemu, segala usaha dan aktiviti yang dilaksanakan KPLB tidak sampai kepada masyarakat terutamanya di luar bandar,” kata Mahdzir.