12 NOV: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan calon Ketua Menteri Melaka bagi gabungan itu adalah daripada BERSATU.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, calon Ketua Menteri Melaka dipilih daripada BERSATU kerana parti itu memiliki calon paling ramai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding calon daripada parti komponen PN yang lain.
Bagaimanapun, Presiden BERSATU itu belum mendedahkan nama individu berkenaan dan hanya akan mengumumkan calon Ketua Menteri PN ‘tidak lama lagi’.
“Calon Ketua Menteri Melaka bagi PN akan diumumkan tidak berapa lama lagi, sudah pasti sebelum hari mengundi.
“Sewajarnya BERSATU ada sejumlah kerusi yang besar (sebagai calon PRN Melaka), dan kita diberikan kepercayaan oleh PAS dan GERAKAN.
“Jadi, calon Ketua Menteri Melaka itu akan datang daripada BERSATU, itu yang saya boleh maklumkan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Difahamkan, antara individu disebut-sebut bakal menjadi calon Ketua Menteri Melaka andainya PN berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu adalah antara Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan calon PN bagi DUN Tanjung Bidara iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Untuk rekod PN akan bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti termasuk 15 kerusi diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS (8) dan Gerakan (5).