12 NOV: Pemberian vaksin penggalak COVID-19 akan diperluaskan kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi, ibu mengandung, individu berusia 40 tahun ke atas, petugas barisan hadapan dan kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Panel Pakar Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meneliti keberkesanan serta keselamatan dos penggalak daripada pelbagai sumber dan mendapati satu dos penggalak mampu meningkatkan tahap imuniti terhadap COVID-19.
“KKM akan terus memantau perkembangan COVID-19 dari semasa ke semasa dan pada masa sama akan meneruskan Pogram Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan pemberian dos tambahan dan dos penggalak bagi memastikan Keluarga Malaysia menerima perlindungan yang optimum daripada COVID-19.
“Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19.
“Nasihat KKM, segeralah mendaftar dan dapatkan vaksin COVID-19 agar anda dan keluarga dilindungi daripada virus berbahaya ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Mengulas mengenai pemberian dos penggalak kepada individu berusia 40 tahun keatas, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan daripada golongan berkenaan tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit tidak berjangkit.