12 NOV: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka ekonomi negara akan kekal berkembang antara 3 hingga 4 peratus pada tahun ini.
Bagaimanapun, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia merosot sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga tahun 2021.
Beliau berkata penurunan itu disumbang pelaksanaan semula langkah pembendungan COVID-19 yang ketat di seluruh negara pada Julai lalu.
“Di sebalik penurunan KDNK pada suku ketiga, ekonomi Malaysia pada 2021 masih kekal di landasan untuk mencapai unjuran 3 ke 4 peratus.
“Memandang ke hadapan, pertumbuhan dijangka terus bertambah baik kepada 5.5 peratus kepada 6.5 peratus pada 2022.
“Unjuran adalah berdasarkan faktor berikut. Pertama, kelonggaran langkah pembendungan secara beransur-ansur akan terus menyokong perkembangan semula aktiviti ekonomi. Kedua, pemulihan berterusan dalam pasaran buruh apabila aktiviti ekonomi bertambah baik.
“Ketiga, peningkatan dalam aktiviti pengeluaran dan pembinaan yang didorong oleh projek utama. Keempat, sokongan dasar yang berterusan dan kelima, pertumbuhan berterusan dalam eksport disokong oleh permintaan luar yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya hari ini, yang turut disertai Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Dalam pada itu, beliau berkata peningkatan berterusan dalam pasaran buruh akan menjadi kunci untuk menyokong pemulihan negara pada masa hadapan.
“Berdasarkan petunjuk terkini, keadaan telah bertambah baik sejak Julai 2021 di ketika penarikan secara beransur-ansur sekatan pergerakan.
“Bagi suku ketiga secara keseluruhan, tahap pekerjaan meningkat sebanyak 67,500 orang berbanding, merosot kepada kira-kira 29,200 orang pada suku sebelumnya manakala kadar pengangguran meningkat sedikit kepada 4.7 peratus.
“Data PERKESO juga menunjukkan sedikit tambah baik dalam tuntutan pengangguran dan kadar penggantian kerja pada bulan Ogos yang berterusan pada bulan Oktober selepas penurunan sementara pada bulan September, ujarnya.
Tambah beliau, menjelang tahun 2022, pihaknya menjangkakan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh.
Jelasnya, perkembangan positif itu selaras dengan kadar vaksinasi Malaysia yang tinggi dan kelonggaran dalam SOP COVID-19.