12 NOV: Kerajaan sedang merangka Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasakan pengurusan wakaf di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelan itu selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Fokus Kelima dan Keenam RMKe-12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Ia selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera,” katanya berucap menyempurnakan Pelancaran Wakaf FELDA, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional kerana keupayaan konsep itu yang mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara.
Malah katanya, menerusi Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.
“Jelas anjuran infak ini membawa kepada terhasilnya konsep wakaf yang patut menjadi amalan kita,” katanya.