12 NOV: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat dasar di Dewan Rakyat tamat dengan 131 Ahli Parlimen selepas membahaskan Bajet 2022, semalam.
Berikutan itu, sesi penggulungan Bajet 2022 akan dimulakan Isnin ini dengan setiap kementerian akan menggulung dan menjawab soalan dibangkitkan semasa perbahasan sebelum diluluskan dan dibahas di peringkat jawatankuasa.
Antara isu menarik dibangkitkan dalam perbahasan sepanjang minggu ini ialah mengenai RUU Anti Lompat parti apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata cadangan membentang RUU itu di Parlimen sewajarnya diterima semua Ahli Parlimen.
Reaksi mengenai rang undang-undang itu turut diberikan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) yang menarik perhatian persidangan tindakan lompat parti dalam kalangan ahli politik mengakibatkan ketidakstabilan politik di negara ini.
RUU Anti Lompat parti itu ditimbulkan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) September lalu yang meminta ia dibentang secepat mungkin.
Perkara berkaitan Sabah dan Sarawak turut mencuri tumpuan, iaitu selain isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kerap dibangkitkan, soal pembangunan dan pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan tidak lari juga daripada disentuh Ahli Parlimen.
Antara Ahli Parlimen yang membangkitkan isu berkenaan termasuk Ahli Parlimen GPS-Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menggesa kerajaan memperbanyak projek pembangunan di Sarawak susulan Kalimantan yang bersempadan dengan negeri itu bakal dinobat sebagai ibu negara baharu Indonesia.
Ahli Parlimen GPS-Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong pula berharap tiada murid di Sarawak yang ‘terlepas’ dalam inisiatif pengagihan komputer riba oleh kerajaan Persekutuan, manakala Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) mempersoal sama ada sasaran menempatkan 90 peratus guru kelahiran Sarawak kembali berkhidmat di negeri itu sudah dipenuhi.
Selain itu, antara isu lain turut disentuh Ahli Parlimen dalam perbahasan termasuklah mengenai semakan kehakiman tuntutan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh di ICJ; pengeluaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, vaksin dan cadangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab e-sukan.
Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut dimaklumkan mengenai pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang dijangka dibentang pada suku ketiga 2022 dan pembangunan vaksin tempatan yang mempunyai kelebihan dengan perolehan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Selain itu, satu program bantuan kewangan baharu dikenali sebagai KPT IHSAN dirancang dibangunkan, manakala Dasar Tenaga Negara sedang dirangka bagi memastikan aspek berkaitan bekalan elektrik negara mampu menampung keperluan pengguna kenderaan elektrik, selain sektor perindustrian dan isi rumah.
Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut menyaksikan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 membabitkan pindaan ke atas lapan akta untuk melaksanakan langkah Bajet 2022 dibentang untuk bacaan kali pertama.