12 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan satu Mesyuarat Khas bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-12 pada Rabu ini.
Menurut kenyataan SPR, mesyuarat akan bermula pukul 9 pagi itu diadakan di Kuching, Sarawak.
“Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain.
“Mesyuarat akan disusuli satu sidang media khas bagi mengumumkan tarikh-tarikh berkenaan dan perkara-perkara berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DUN Sarawak terbubar secara rasmi pada 3 november lalu selepas penarikan proklamasi darurat di negeri itu oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Susulan itu PRN Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh proklamasi darurat dibatalkan atau diungkaikan.