13 NOV: Badan Kawalan Pencemaran Persekutuan India mengarahkan semua negeri dan pihak berkuasa tempatan berikutan masalah jerebu semakin serius di ibu negaranya, New Delhi.
Jerebu tebal yang tepu dengan bahan toksik diburukkan lagi dengan penurunan suhu dan kelajuan angin selain peningkatan pembakaran sisa tanaman di sekitar kawasan ladang.
Menurut badan itu, keadaan berkenaan menyebabkan kadar penglihatan dan Indeks Kualiti Udara (IQA) naik kepada 470 daripada skala bacaan 500.
Tahap pencemaran itu berupaya menjejaskan kesihatan selain memberi kesan buruk kepada mereka yang mempunyai penyakit.
Berdasarkan Pelan Tindak Balas Berperingkat, kualiti udara yang kekal ‘teruk’ selama 48 jam memerlukan negeri dan pihak berkuasa tempatan melaksanakan langkah kecemasan termasuk menutup sekolah, sekatan ke atas kereta persendirian dan menghentikan semua pembinaan.
Menerusi pekeliling yang dikeluarkan, badan terbabit memaklumkan pejabat kerajaan dan swasta perlu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian sebanyak 30 peratus dan menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti luar.
“Keadaan meteorologi dijangka makin buruk sehingga 18 November ini disebabkan faktor kekurangan angin pada waktu malam,” menurut badan terbabit.
Awal minggu ini, pihak berkuasa tempatan mengarahkan pemberhentian operasi pembakaran, meningkatkan kekerapan pembersihan jentera dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pembakaran sampah.
Ketepuan bahan cemar beracun sebanyak 2.5 PM (bahgian dalam sejuta) ditemui pada kadar purata 329 mikrogram dalam setiap kubik meter padu udara.
Kerajaan menetapkan bacaan 2.5 PM (bahagian dalam sejuta) ‘selamat’ pada kadar 60 mikrogram dalam setiap kubik meter padu udara dalam tempoh 24 jam.
Kiraan 2.5 PM cukup kecil untuk bergerak jauh ke dalam paru-paru, memasuki aliran darah dan boleh menyebabkan gangguan pernafasan yang teruk, termasuk kanser paru-paru.