13 NOV: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengakui menyesal memilih PKR yang bersama Pakatan Harapan (PH) selama lima tahun selepas keluar dari UMNO.
Untuk rekod Muhammad Jailani menang DUN Rumbia atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum dipecat kerana memberi sokongan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) sewaktu kerajaan PH tumbang di Melaka.
Muhammad Jailani juga mengakui kesilapan membuat pilihan pada ketika itu kerana termakan tawaran yang dibuat PH menjelang PRU-14.
“Inilah hakikatnya, kalau hendak bercakap mengenai ketidakbetulan atau kemungkaran, semua parti ada benda ini tetapi ada parti dalam PH lebih ekstrem.
“Disebabkan itu, saya perlu membuat pilihan kerana mereka tidak menunaikan janji seperti digembar-gemburkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau mengakui tindakan keluar parti bukan satu pengkhianatan sebaliknya atas dasar memperjuangkan kebenaran.
“Saya pengkhianat ke saya pembela? Mana janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, beliau kemudian menyerahkan sokongan kepada BN namun kekal sebagai ADUN PKR pada ketika itu.
Katanya, beliau tidak keluar dari parti tetapi dipecat melalui dua surat yang dihantar kepadanya.
“Dalam tempoh lima tahun bersama mereka (PH) saya boleh lihat macam-macam. Pagi petang berpolitik…malam esok sambung lagi berbanding BN langsung tidak sebut pasal politik.
“Saya rasa ini perbezaan paling ketara. Apabila saya kita jadi exco bawah kepimpinan kerajaan BN, kita lebih kepada penyelesaian masalah kita tidak ada bercakap mengenai politik,” katanya.
Katanya, pada 2016 beliau meninggalkan UMNO kerana ketika itu melawan Datuk Seri Idris Haron yang menjawat sebagai Ketua Menteri atas satu matlamat iaitu membanteras korupsi, nepotisme dan kronisme.
“Saya keluar kerana lawan Idris dan sekarang sudah terbukti bagaimana sikapnya. Allah tunjukkan beliau kepada rakyat, sekarang telah terbukti kenapa saya melawan beliau sebelum ini.
“Sepanjang bersama UMNO, saya amat mengenali Idris tetapi pihak lain lebih mempercayainya. Pada saya, macam-macam orang kata tidak kurang ada yang melabelkan saya pelbagai versi,” katanya.