15 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai 11,557 pengundi akan mengundi awal di 31 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata jumlah pengundi awal itu membabitkan 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.
“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.
“Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon bertanding, selain SPR akan menyiarkan proses (pengundian) ini secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi terbabit hanya akan dikira pada bermula jam 4 petang Sabtu ini.
“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan ejen calon masing-masing,” katanya.
Tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan akan dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal dan Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.
Di DUN Sungai Udang merekodkan jumlah pusat pengundian awal terbanyak iaitu di tiga lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak serta Dewan Borhan.
Hanya empat DUN tidak terbabit dalam proses pengundian awal iaitu DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.