15 NOV: Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menyalurkan dana RM32.9 juta kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata sehingga 1 November lalu, seramai 6,584 waris memohon bantuan secara sekali bayar RM5,000, di bawah Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19.
“Sebanyak RM32.9 juta dibelanjakan bagi waris yang memohon. Walaupun kita maklum jangkaan kematian ini akan terus berlaku, setakat ini kira-kira 30,000 sudah meninggal dunia yang dikaitkan dengan COVID-19.
“Waris perlu memohon dengan dokumen yang lengkap dan saya sendiri pergi ke pejabat yang menguruskan proses serta berpuas hati dengan proses berkenaan,” katanya pada sesi penggulungan Bajet 2022 di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Abd Latiff berkata nasib kanak-kanak atau remaja yang kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau kedua-duanya disebabkan pandemik COVID-19 telah mendapat perhatian serius sejak pandemik melanda seluruh dunia.
Oleh itu, Abd Latiff berkata Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) ditubuhkan sebagai pelengkap kepada usaha-usaha
yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi melindungi kanak-kanak kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat COVID-19 dengan memfokuskan kepada aspek kebajikan dan perkembangan sosial kanak-kanak.
“YKM akan berperanan sebagai sebuah institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek kebajikan dan pendidikan.
“Ini adalah manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia yang dizahirkan untuk anak-anak yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan seterusnya, kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang turut memerlukan sokongan seperti kanak-kanak/ remaja yang kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau keduanya akibat kemalangan atau lain-lain bencana seumpama,” kataya.
Beliau berkata penubuhan YKM tidak melibatkan pertambahan kos pembukaan pejabat baru, kos renovasi pejabat dan emolumen kakitangan baharu kepada Kerajaan memandangkan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai sekretariat yang akan menyokong pengoperasian yayasan berkenaan.
“YKM akan memberi atau menguruskan pemberian bantuan kewangan untuk kebajikan atau pendidikan kepada kanak – kanak/ remaja yang kehilangan ibu atau bapa atau penjaga atau kedua-duanya akibat pandemik COVID-19, kemalangan dan lain – lain bencana seumpama sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
“Namun begitu, dalam keadaan-keadaan tertentu, YKM juga boleh mempertimbangkan pemberian bantuan kebajikan dan pendidikan sehingga ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.