15 NOV: Kerajaan Persekutuan sedia menambahkan peruntukan tahunan kepada kerajaan negeri jika terdapat pertambahan hasil yang diterima.
Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa, berkata secara lazimnya, Kementerian Kewangan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM250 juta setahun untuk diagihkan kepada semua kerajaan negeri.
Katanya, ini dilakukan selepas Jabatan Akauntan Negara mengesahkan terdapatnya pertambahan hasil tahunan Kerajaan Persekutuan dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diterima daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Pemberian pertambahan hasil dibuat mengikut peruntukan Akta Pemberian Pertambahan Hasil 1977 dan Akta Pemberian Pertambahan Hasil (Pindaan) 2007. Pemberian ini berdasarkan kepada prinsip perkongsian hasil.
“Apabila terdapat pertambahan dalam hasil Kerajaan Persekutuan pada sesuatu tahun kewangan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, negeri akan mendapat pemberian ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk menambah jumlah perkongsian hasil Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, supaya supaya kerajaan negeri kurang bergantung kepada hasil penjualan dan penerokaan tanah, bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri.