15 NOV: Purata pendapatan penduduk di luar bandar meningkat sebanyak 34.5 peratus dalam tempoh 17 tahun kebelakangan ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, data Jabatan Perangkaan itu menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk luar bandar daripada RM1,729 pada 2002 kepada RM5,004 (2019).
Katanya, liputan bekalan elektrik di luar bandar juga meningkat daripada 84.6 peratus pada 2000 kepada hampir 99 peratus pada 2019, di samping data daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang mencatatkan peningkatan capaian internet di luar bandar sebanyak 83.9 peratus.
“Selain peningkatan dalam purata pendapatan, penduduk luar bandar juga mencatat peningkatan dalam aspek bekalan air di rumah yang meningkat daripada 74.7 peratus pada 2000 kepada 84.9 peratus pada 2019.
“Ini adalah bukti bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah berjaya dan berhasil meningkatkan kualiti dan taraf hidup penduduk di luar bandar,” katanya dalam kenyataan selepas hadir sesi libat urus bersama ahli Parlimen kerajaan di Bangunan Parlimen, hari ini.
Tambah Mahdzir, tumpuan kementeriannya ketika ini adalah terarah kepada program-program yang boleh meningkatkan tahap ekonomi penduduk luar bandar yang rata-ratanya terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19, selaras dengan matlamat Bajet 2022 agar dapat memberi manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya isi rumah golongan miskin, miskin tegar, B40 dan masyarakat Orang Asli.
“Bagi 2022, kementerian juga akan terus berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar, di mana program-program infrastruktur luar bandar akan diteruskan pelaksanaannya bagi memastikan kesejahteraan mereka.
“Program seperti Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa dan Program Ameniti Sosial akan diteruskan. Sebanyak RM2.44 bilion diperuntukkan untuk projek prasarana di luar bandar untuk tahun ini,” katanya.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar diperuntukkan sejumlah RM10.53 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tahun ini.
Jumlah itu meliputi RM3.52 bilion peruntukan mengurus dan RM7.01 bilion peruntukan pembangunan.
Peruntukan itu adalah RM345 juta atau 3.39 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2021.
#luarbandarsejahtera#kplb